Sejenis fungus berbentuk ulat yang dikatakan lebih berharga daripada emas, dengan panggilan ‘Viagra Himalaya’, kini semakin sukar untuk ditemui akibat perubahan iklim.

Agensi berita AFP melaporkan, ‘tumbuhan’ unik yang disifatkan sebagai ubat luar biasa dari Asia itu ‘diburu’ oleh banyak pihak hinggakan terdapat kes warga China dan Nepal yang terbunuh gara-gara mahu mendapatkannya.

Fungus yarchagumba atau nama saintifiknya Ophiocordyceps sinensis hanya tumbuh di kawasan tanah tinggi melebihi 3,500 meter dari aras laut. Walaupun belum dibuktikan di makmal bahawa ia mempunyai nilai perubatan tinggi, fungus itu dipercayai mampu mengatasi masalah dari mati pucuk hingga kanser.

Ia selalunya direbus untuk dijadikan minuman atau ditambah ke dalam sup dan hidangan reneh yang lain.

Dalam laporan prosiding Akademi Sains Kebangsaan dan turut diulas oleh US Journal, fungus tersebut merupakan salah satu daripada komoditi biologi dunia yang paling berharga, sekali gus menawarkan sumber pendapatan penting lagi ratusan pengumpulnya.

Fungus 'yarchagumba' ini sukar didapati kerana hanya tumbuh di kawasan tanah tinggi yang melebihi 3,500 meter dari aras laut. - Wikipedia

Dalam dekad-dekad lalu, popularitinya melonjak seiring harganya – hingga mampu mencapai harga sehingga tiga kali ganda harga emas di Beijing.

Sementara ramai yang menyalahkan penuaian melampau sebagai punca ia semakin pupus, para penyelidik telah menjalankan siasatan mereka.

Itu termasuk menemu bual berpuluh-puluh penuai, pengumpul dan pedagang fungus, termasuk ratusan warga Nepal, Bhutan, India dan China.

Selain itu, corak perubahan cuaca, faktor geografi dan keadaan persekitaran juga dianalisis untuk menghasilkan pemetaan produksi yarchagumba di rantau itu.

"Mengunakan data yang dikumpul dalam tempoh dua dekad dari empat negara, kami mengesahkan bahawa produksi fungus ini semakin merosot.

“Sementara penuaian melampau menjadi faktor yang menyumbang kepada ‘kehilangan’ fungus ini, penilaian habitat dan pengeluaran juga menyimpulkan bahawa perubahan iklim memainkan peranan yang sangat berpengaruh,” tulis laporan itu.