PELAKON Kevin Hart mengalami kecederaan selepas kenderaan dinaikinya mengalami kemalangan di Selatan Calabasas, California, Amerika Syarikat.

Menurut laporan Associated Press, kejadian berlaku pada 12.45 pagi berhampiran Lebuhraya Mulholland dan Cold Canyon Road.

Difahamkan pelakon berusia 40 tahun itu menaiki kenderaan klasiknya Plymouth Barracuda 1970 sebelum ia terbabas melanggar pembahagi jalan.

Hart merupakan salah seorang daripada dua penumpang dalam kereta itu apabila pemandunya hilang kawalan.

Berdasarkan laporan awal, Hart mengalami kecederaan belakang yang serius dan sedang dirawat di Hospital Northridge, namun kecederaan yang dialaminya tidak mengancam nyawa.

Pemandu kenderaan itu juga dimasukkan ke hospital, manakala seorang lagi penumpang tidak dirawat di hospital.

Peronda Lebuhraya California mengesahkan kejadian dan turut menyatakan siasatan setakat ini tidak mengesan sebarang penglibatan dadah atau alkohol.

Baru-baru ini, pelakon itu memaklumkan dia akan membintangi watak superhero komedi di dalam Filem Night Wolf.

Dalam pada itu, dia turut menjadi suara latar di dalam filem The Secret Life of Pets 2 serta akan membintangi filem Jumanji: The Next Level pada Disember.