"Mana-mana negara tidak sepatutnya mengadakan sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), kerana ia satu yang sia-sia."

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif mengeluarkan amaran itu sambil mendakwa Washington tidak akan kekal patuh pada setiap perjanjian terutama perjanjian nuklear Iran yang dipersetujui pada 2015.

"Ia mesej yang sangat berbahaya untuk dihantar kepada warga Iran dan juga kepada penduduk dunia.

"Anda tidak sepatutnya membuat sebarang persetujuan dengan AS kerana pada akhirnya, prinsip AS adalah 'apa yang jadi milik saya adalah milik saya, dan apa yang jadi milik anda boleh dirundingkan," jelasnya yang kini berada di New York untuk menghadiri pertemuan Dewan Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Mohammad Javad lagi, usaha meyakinkan Presiden AS, Donald Trump, oleh Perancis dan Jerman adalah satu yang sia-sia.

Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Chancellor Angela Merkel dijangka mengadakan pertemuan dengan Trump minggu ini bagi membincangkan perjanjian terbabit.

"AS bukan sahaja gagal melaksanakan peranannya dalam perjanjian tersebut malah cuba berunding untuk meminta lebih banyak," jelasnya.

Di bawah perjanjian nuklear Iran 2015 itu, Tehran bersetuju untuk membendung program nuklearnya sebagai timbal balik kepada sekatan ekonomi yang dikenakan.

Perjanjian yang dipersetujui di bawah pentadbiran Barack Obama itu adalah untuk memastikan Iran tidak membangunkan program senjata nuklearnya yang disifatkan Trump sebagai perjanjian yang banyak kecacatan.

Menurut Mohammad Javad, jika Washington meninggalkan perjanjian itu, terdapat banyak pilihan yang akan dipertimbang Tehran, termasuk memulakan semula aktiviti nuklearnya.

Mengulas mengenai perjanjian dengan beberapa negara yang berada di dalam perjanjian tersebut, beliau berkata Tehran mungkin akan keluar sepenuhnya dari perjanjian itu kerana ia merugikan.

"Saya percaya ini sangat tidak mungkin kerana penting bagi Iran untuk menerima faedah hasil dari perjanjian itu, dan tidak mungkin bagi Iran untuk melaksanakan perjanjian itu seorang diri," jelasnya.

Tambahnya, usaha yang sedang dilakukan Trump jelas menunjukkan ketakutan Washington terhadap Tehran yang didakwa ingin membangunkan bom nuklear.

"Amerika tidak seharusnya takut terhadap Iran yang didakwa mahu menghasilkan bom nuklear, tetapi kami akan meneruskan pengayaan nuklear dengan kuat. Jika mereka mahu takut maka itu terpulang kepada mereka," katanya.