Amerika Syarikat bersetuju dengan Britain bahawa Rusia berkemungkinan bertanggungjawab terhadap serangan ke atas bekas perisiknya, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia di Salisbury.

Kedua-duanya didapati diracun dengan agen saraf, yang lazimnya dihasilkan Rusia.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, mereka yang bertanggungjawab harus menerima akibatnya.

"Kami bersetuju bahawa mereka yang bertanggungjawab iaitu yang melakukan jenayah dan mereka yang mengarahkannya, harus menanggung akibatnya," kata Tillerson.

Terdahulu, Perdana Menteri Britain Theresa May mendakwa Rusia dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan ke atas dua individu tersebut.

BACA: Rusia dalangi serangan ke atas bekas perisiknya - PM Britain

BACA: Bekas perisik dan anak diracun, kes mirip Kim Jong-nam

BACA: Polis UK sahkan bekas perisik Rusia diracun dengan agen saraf

Susulan itu, pejabat Setiausaha Luar Britain memanggil duta Rusia ke negaranya untuk penjelasan.

Jelas May, sekiranya tiada penjelasan diberikan sehingga lewat Selasa, Britain akan merumuskan Moscow menggunakan kekerasan untuk membunuh Skripal.

Bahan kimia yang digunakan ke atas Skripal dan anaknya merupakan satu daripada agen saraf yang dikenal pasti sebagai Novichok.

Kata May, Britain akan mempertimbangkan tindakan tegas sekiranya penjelasan diberikan Kremlin tidak cukup baik, namun May tidak memberi penjelasan lanjut.