Canselor Jerman Angela Merkel mengumumkan pembekuan eksport senjata ke Arab Saudi susulan pembunuhan wartawan kanan Jamal Khashoggi.

Katanya selepas menghadiri satu mesyuarat di sini pada Ahad, pembekuan itu sesuatu yang sangat wajar dilakukan.

Merkel mengulangi pendirian sama yang dikeluarkan Menteri Luar Jerman Heiko Maas pada Sabtu.

"Pertama, kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini, seperti yang kami katakan semalam. Kedua, wujud keperluan mendesak untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan apa yang terjadi.

"Tidak semestinya semua perkara telah diketahui dan semua orang telah dibawa ke muka pengadilan.. Mengenai eksport senjata, ia sememangnya tidak boleh berlangsung dalam situasi semasa," katanya.

Tambahnya, Jerman akan terus membincangkan tindakan susulan mengenai kes tersebut dengan sekutunya.

BACA: Arab Saudi sahkan wartawan kanan, Jamal Khashoggi mati dibunuh

BACA: Polis Turki jumpa 'bukti' Jamal Khashoggi dibunuh


Antara lain, Merkel yang turut sama mengutuk pembunuhan tersebut menggesa agar Arab Saudi tampil memberi penjelasan lanjut mengenai pembunuhan Khashoggi.