Berita  | Dunia

Anggota Parlimen kantoi upah individu wajah seiras duduki peperiksaan universiti

Anggota Parlimen kantoi upah individu wajah seiras duduki peperiksaan universiti
Tamanna Nusrat dituduh mengupah lapan wanita untuk mengambil sekurang-kurangnya 13 peperiksaan bagi pihaknya. -foto Bangladesh Parliament
DHAKA: Seorang ahli politik Bangladesh dibuang universiti selepas didakwa mengupah lapan individu berwajah serupa dengannya untuk mengambil peperiksaan bagi pihaknya.

Jelas pihak universiti, ahli politik yang dikenali sebagai Tamanna Nusrat dari parti Liga Awami dituduh mengupah lapan wanita untuk mengambil sekurang-kurangnya 13 peperiksaan.

Skandal itu dibongkarkan oleh stesen televisyen swasta, Nagorik TV, yang memasuki dewan ujian dan berjaya mendedahkan perkara itu selepas seorang daripada wanita yang menyamar sebagai Nusrat ditahan pada Sabtu.

Stesen TV itu turut melaporkan bahawa ahli politik berkenaan tidak pernah menghadiri mana-mana 13 peperiksaan yang diadakan dalam tempoh empat penggal di universiti berkenaan.

Video berkenaan kemudiannya menjadi tular dalam kalangan warga Bangladesh.

Nusrat, yang dipilih menduduki kerusi parlimen tahun lepas, melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda Seni di Universiti Terbuka Bangladesh (BOU).

Beliau memegang satu daripada 50 kerusi di Parlimen yang dikhaskan untuk wanita di Bangladesh.

"Kami mengambil keputusan membuang dia dari universiti kerana dia telah melakukan jenayah. Jenayah tetap jenayah.

"Kami juga telah membatalkan pendaftarannya. Dia tidak akan dapat masuk ke universiti ini lagi," kata ketua BOU, MA Mannan.

Jelas seorang pegawai kolej, penyamar-penyamar terlibat dilindungi pengawal peribadi Nusrat ketika mereka menduduki ujian.

“Semua orang mengetahui perbuatan itu namun tiada siapa mampu bersuara kerana beliau berasal daripada keluarga berpengaruh,” katanya.

Sehingga kini, Nusrat gagal dihubungi untuk mengulas lebih lanjut berhubung perkara itu.

Pemalsuan ujian, menipu dan kebocoran kertas soalan sebelum peperiksaan adalah biasa di Bangladesh, menyebabkan pihak berkuasa kerap membatalkan keputusannya.