Sekurang-kurangnya 36 individu dilaporkan maut setakat ini selepas mereka minum cecair sanitasi yang mengandungi alkohol.

Times of India melaporkan, angka itu termasuk seorang wanita berusia 52 tahun dan anak lelakinya, berusia 24 tahun yang membunuh diri dengan meminum cecair itu di Chennur, di daerah Kadapa.

Polis yakin angka itu jauh lebih tinggi memandangkan banyak lagi kes kematian yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Malah, dua kematian di Kampung Kurichedu juga tidak dilaporkan dan polis hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas mayat mereka dikebumikan.

Ekoran itu, pegawai polis, Ketua Polis Daerah, Siddharth Kaushal memberitahu, polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes-kes pengambilan cecair pembasmi kuman di Kurichedu.

Katanya, berikutan perintah berkurung dikuatkuasakan di Kampung Kurichedu selepas beberapa kes positif dikesan, sesetengah penduduk tempatan yang ketagih alkohol mula mengambil cecair sanitasi untuk kononnya mendapatkan rasa khayal.

Dalam pada itu, seorang pemilik farmasi, Ramakrishna memberitahu, sesetangah penduduk dilihat datang membeli cecair pembasmi hampir setiap hari.

"Ikutkan satu botol sudah cukup untuk kegunaan satu keluarga untuk satu bulan," katanya.