Jumlah kematian akibat kejadian banjir dan tanah runtuh di beberapa wilayah di Vietnam dijangka akan terus meningkat selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca yang lebih buruk akan melanda.

Setakat ini 15 orang dilaporkan terbunuh termasuk 12 mangsa kanak-kanak manakala 11 yang lain dilaporkan masih hilang di wilayah Lai Chau.

Kebanyakan mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat yang bermula dari Sabtu.

Pihak berkuasa pengurusan bencana juga melaporkan tiga terkorban di wilayah Ha Giang.

Banjir dan tanah runtuh setakat ini menyebabkan nilai kerosakan melebihi 141 bilion Dong atau 6.15 juta dolar Amerika melibatkan rumah, jalan raya dan tanaman.

Laluan utama yang menghubungkan kesemua wilayah terlibat juga ditutup pada Selasa.

Tahun lalu, 389 orang terbunuh dan 668 cedera dalam kejadian sama di negara itu.