Tutup

Berita  | Dunia

Angka korban Taufan Mangkhut di Filipina meningkat 81 orang

Angka korban Taufan Mangkhut di Filipina meningkat 81 orang
Usaha mencari dan me nyelamat mangsa yang tertimbus di Itogon diteruskan. - Reuters
MANILA: Jumlah korban akibat taufan Mangkhut di Filipina pada hujung minggu lalu, meningkat kepada 81 orang, menurut polis, lapor agensi berita Xinhua pada Rabu.

Usaha menyelamat diteruskan untuk mencari 70 lagi mangsa masih hilang yang kemungkinan terperangkap dalam tapak runtuhan, di bandar perlombongan Itogon di wilayah Benguet utara Filipina. 

Penasihat Presiden Filipina, Francis Tolentino berkata operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan bagi mengesan jika terdapat mangsa terselamat.

Majoriti terkorban dan hilang dilaporkan di Wilayah Pentadbiran Cordillera yang menyaksikan banyak kejadian tanah runtuh. 
Taufan ganas itu melanda Filipina tahun ini di timur laut pulau Luzon pada awal Sabtu, mengakibatkan tanah runtuh, rumah dan ladang musnah selain pokok dan tiang letrik tumbang.

Lembah Cagayan, kawasan industri jagung terbesar dan pengeluar kedua beras negara, merupakan kawasan paling teruk terjejas. 
Menurut Majlis Kawalan dan Pengurusan Risiko Bencana Negara, kerosakan terhadap sektor pertanian Filipina dianggarkan 14.3 bilion peso (AS$264.3 juta).

Mangkhut, taufan ke-15 membadai Filipina tahun ini. Agensi cuaca meramalkan sebanyak empat atau lima taufan melanda negara itu menjelang hujung tahun.

Filipina dilanda taufan kira-kira 19 kali dalam setahun. Pada 2013, taufan Haiyan membinasakan tengah Filipina, mengorbankan lebih 6,000 orang, manakala taufan Ketsana pada 2009 pula menyebabkan banjir besar di Metro Manila, meragut lebih 700 nyawa.

-- BERNAMA