Sebuah kafe haiwan peliharaan di mana anjing 'diwarnakan' hitam dan putih untuk kelihatan seperti anak panda telah mencetuskan pelbagai reaksi kurang senang di media sosial.

Rakaman video didedahkan menerusi Hongxing News kelmarin menunjukkan enam anjing spesies Chow Chow kelihatan seperti panda boleh ditemukan di The Cute Pet Games yang dibuka pada bulan lalu di Chengdu, wilayah Sichuan yang menjadi 'rumah' kepada panda gergasi di negara itu.

Beberapa pelanggan turut dilihat seronok membelai 'anjing panda' tersebut.

Menurut pemilik kafe itu yang hanya dikenali sebagai Huang, dia mula menawarkan perkhidmatan mewarnakan haiwan peliharaan selepas anjing panda menjadi kegilaan kebanyakan pelanggannya.

"Kos untuk perkhidmatan itu adalah 1,500 Yuan (RM888) dan warna yang diimport dari Jepun ia adalah sangat mahal dan tidak membahayakan haiwan terbabit," katanya.

Difahamkan, proses untuk mewarnakan anjing panda itu mengambil masa selama kira-kira sehari.

Hashtag 'Dye a dog into a panda for 1500 yuan' telah menjadi tular dengan lebih 170 juta tontonan menerusi platform Weibo namun ia mencetuskan kemarahan kebanyakan pengguna laman blog mikro tersebut.

"Saya cadangkan pemilik kafe itu diwarnakan hitam dan putih," sindir salah seorang pengguna. - Agensi