SEEKOR anjing peliharaan mati dalam pesawat United Airlines selepas kru penerbangan memaksa pemiliknya meletakkan haiwan itu di dalam ruang bagasi atas kepala.

Dalam penerbangan dari Houston, Texas ke New York Selasa lalu, seorang kru memaksa seorang wanita bersama anak dan anjingnya meletakkan haiwan itu di dalam ruang simpanan di bahagian atas sepanjang penerbangan selama tiga jam setengah itu.

Menurut seorang saksi yang juga penumpang, wanita berkenaan meletakkan anjingnya, baka French bulldog, di bawah tempat duduk namun tidak dibenarkan juga.

Pada akhir penerbangan, wanita itu mendapati anjingnya sudah tidak bernyawa.

Menurut saksi, wanita tersebut terduduk di atas lantai sambil menangis.

United menyifatkan kejadian itu sebagai tragik yang tidak sepatutnya terjadi kerana haiwan peliharaan tidak boleh diletakkan di ruang atas kepala.

Syarikat penerbangan itu turut meminta maaf kepada keluarga itu.

Menurut keluarga tersebut, anjing peliharaan mereka dibenarkan menaiki pesawat oleh pakar haiwan.

Jurucakap United, Maggie Schmerin, berkata, syarikat akan menyiasat perkara itu dan kos tiket dipulangkan semula kepada keluarga wanita berkenaan, termasuk yuran kabin haiwan peliharaan bernilai AS$125 (RM486).

Ini bukan kali pertama United disiasat kerana layanan terhadap haiwan.

Tahun lalu, ia disaman pemilik seekor arnab gergasi yang mati dalam satu pesawatnya.

Data Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa United terlibat dalam sembilan daripada 26 kematian haiwan dalam penerbangan sepanjang tahun lalu.

Ia merupakan angka tertinggi jika dibandingkan dengan syarikat penerbangan lain.