KALAU sebut labah-labah yang berkaki lapan, pasti ramai yang fobia.

Bagaimana pula jika anda penggemar makanan laut dan ianya berkaki lapan, adakah fobia anda akan hilang terus berselera untuk menikmatinya?

Apa yang dimaksudkan ini adalah ketam gergasi yang digelar Japanese Spider Crab ini mampu membesar sehingga 3.9 meter panjang dan mencecah berat 19 kilogram.

Itu merupakan rekod terbesar ketam labah-labah yang digelar Crabzilla yang berjaya ditangkap pada 2009 di perairan laut dalam Jepun.

Nama saintifik ketam labah-labah ini adalah Macrocheira kampfaeri, perkataan ‘Macrocheira’ merupakan perkataan Greek dimana ‘makros’ bermaksud besar atau panjang dan ‘cheir’ membawa maksud tangan. Di Jepun pula digelar taka-ashi-gani membawa maksud ketam berkaki panjang.

Japanese Spider Crab yang dapat membesar melebihi saiz manusia biasa.

Ketam gergasi ini pula bukan mudah untuk ditemui memandangkan habitat mereka adalah pada kedalaman antara 49 hingga 600 meter.

Dietnya pula tidak terhad sebaliknya ia bergantung hidup kepada apa sahaja spesis yang ada termasuk kerang-kerangan, ikan dan tumbuhan di dasar laut.

Jangka hayat ketam ini juga dianggap luar biasa kerana ia mampu hidup antara 50 hingga 100 tahun dan tergolong dalam ketegori ketam dengan tempoh hayat paling panjang.