TRIVIA: Apakah persamaan antara Jho Low, CFO Huawei dan El Chapo?

Jawapannya ialah semua kes melibatkan suspek berprofil tinggi dari tiga negara berbeza dan mereka diuruskan oleh seorang pendakwa raya yang sama.

Pendakwa raya Amerika Syarikat, Richard P. Donoghue, yang mengetuai Pejabat Pendakwaraya bagi kawasan Eastern District New York, kini mengendalikan kes pendakwaan terhadap Jho Low.

Beliau turut mengendalikan kes ekstradisi Ketua Pegawai Kewangan Huawei Sabrina Meng Wanzhou dan pendakwaan terhadap Raja Dadah terkenal Joaquín Guzmán Loera atau dikenali sebagai 'El Chapo'.



Bagi kes skandal penipuan 1MDB, Donoghue bertangungjawab juga mengemukakan pendakwaan terhadap Jho Low dan pegawai Bank Goldman Sachs Roger Ng berkenaan kes penipuan dan pengubahan aset 1MDB.

Donoghue juga sedang berusaha mendapatkan ekstradisi bagi Meng, anak kepada pengasas Huawei Ren Zhengfei berkenaan pendakwaan penipuan berkaitan pelanggaran sekatan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah terhadap Iran.



Kes ini mendapat bantahan China dan dikhuatiri akan menjejaskan hubungan China-Washington.

Donoghue turut mengetuai pendakwaan terhadap 'El Chapo' yang dilaporkan mengetuai kartel Sinaloa.



El Chapo sebelum ini meloloskan diri dari penjara di Mexico menerusi terowong rahsia dan ditangkap semula pada 2016 lalu diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Beliau dinamakan sebagai salah seorang individu paling berkuasa di dunia oleh majalah Forbes pada 2009 hingga 2011, sekaligus meletakkan beliau orang kedua paling berkuasa di Mexico.

Forbes juga menamakannya sebagai raja dadah paling besar dalam sejarah.