Kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan selama 24 jam di Mekah dan Madinah berkuat kuasa serta-merta bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Penduduk di kedua-dua bandar itu hanya boleh meninggalkan rumah mereka untuk membeli makanan dan menjalani rawatan perubatan di antara jam 6 pagi dan 3 petang.

Hanya dua orang dibenarkan berada di dalam kenderaan pada satu-satu masa untuk tujuan itu.

Petugas di sektor penting awam dan swasta termasuk perubatan, keselamatan, tentera dan media dibenarkan ke tempat kerja

Semua aktiviti komersial di dua bandar itu selain farmasi, bank, pasar raya dan stesen minyak adalah dilarang.

Pihak berkuasa meminta penduduk untuk melindungi kanak-kanak dan hanya membenarkan orang dewasa untuk keluar rumah selain menasihatkan mereka menggunakan perkhidmatan penghantaran bagi pembelian makanan dan bahan mentah.