Ulama terkenal Syiah, Sheikh Nimr Al-Nimr dilaporkan antara 47 tahanan yang dipancung sehingga mati di Arab Saudi pada Sabtu.

Mereka menerima hukuman itu selepas disabitkan dengan kesalahan berkaitan keganasan.

Antara lain, Al-Nimr adalah tokonh penting yang terlibat dalam protes Syiah yang meletus pada 2012 sebagai sebahagian siri kebangkitan Arab atau ‘Arab Spring’.

Hukuman pancung ke atasnya dijangka mengundang siri protes baru dalam kalangan pengikut minoriti syiah di Arab Saudi.

Al-Nimr dikatakan pengkritik paling lantang terhadap pentadbiran monarki Bahrain, yang bertindak keras ke atas penganut Syiah pasca ‘Arab Spring’ pada 2011.

Arab Saudi pada masa itu turut menghantar tentera bagi membantu Bahrain melumpuhkan kebangkitan dan pengaruh Syiah atas alasan bimbang ia akan merebak.

Sepanjang 2015, sekurang-kurangnya 157 hukuman pancung dilaksanakan di Arab Saudi.