IBU negara Arab Saudi, Riyadh bakal berubah sebagai sebuah "bandar paling terbaik untuk didiami" dalam tempoh beberapa tahun akan datang apabila projek transformasi kota itu siap sepenuhnya.

Dengan kos sebanyak RM93 bilion, pemerintah Arab Saudi berhasrat mencantikkan Riyadh dengan pelbagai projek yang lebih mesra alam sekali gus menambah baik kualiti udara kota itu.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud merancang pelbagai projek yang dijangka mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan selain menyediakan kemudahan rekreasi baharu di bandar itu.

Sebagai tambahan kepada pelaburan kerajaan, projek mega itu juga akan mewujudkan peluang untuk pembiayaan sektor swasta sebanyak AS$15 bilion (RM61 bilion).

Perancangan transformasi itu sedang berjalan pada ketika ini dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dilantik mengetuai jawatankuasa bagi memantau bahagian projek itu yang dirancang bagi mengubah Riyadh, lapor Saudi Press Agency.

Projek-projek pembangunan yang dirancang termasuk:

* Taman Raja Salman yang dianggap sebagai salah satu taman bandar terbesar di dunia termasuk pembinaan kediaman, hotel dan kompleks seni;

* Kompleks Sukan yang merangkumi kemudahan riadah termasuk laluan basikal, pejalan kaki dan lain-lain;

* Paparan karya-karya artis tempatan dan antarabangsa di sekitar bandar;

* Peningkatan 16 kali ganda ruang hijau (tanaman pokok), per kapita

Rancangan itu mungkin akan menjadi popular selepas pemotongan subsidi tenaga dan cukai baharu dilaksanakan selepas kejatuhan harga minyak pada tahun 2014.

Rakyat Arab Saudi selama ini kerap mengadu tentang kekurangan ruang hijau dan aktiviti kebudayaan di ibu negara mereka yang berdebu.

Sesetengah orang juga secara peribadi merungut bahawa wang yang dibelanjakan untuk projek mega seperti Neom, sebuah bandar raya futuristik bernilai AS$500 bilion (RM2.03 trilion) lebih baik digunakan untuk membiayai kelayakan kehidupan di bandar-bandar lama.

Menurut agensi berita itu lagi, rancangan itu dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan untuk rakyat.

Dalam masa sama, projek mega itu juga merupakan satu lagi ciri yang mungkin merangsang ekonomi Arab Saudi secara positif sekali gus menurunkan kadar pengangguran sebanyak 12.8 peratus. – Bloomberg