Berita  | Dunia

Artificial Intelligence bantu pantau data peribadi pengguna FB

Artificial Intelligence bantu pantau data peribadi pengguna FB
ZUCKERBERG: Kepelbagaian kandungan yang terdapat di Facebook membuatkan pekerja yang dilatih tidak mampu memantau keseluruhan kandungan ini.
WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg terus menjawab soalan daripada anggota Kongres pada hari kedua pendengaran kes perbicaraannya berhubung kebocoran maklumat Cambridge Analytica.

Zuckerberg berulang kali menjawab bahawa teknologi Artificial Intelligence (AI) boleh memantau data peribadi pengguna di Facebook.

Menerusi sesi pendengaran itu, salah seorang anggota Kongres Pete Olson mempersoal bagaimana masalah kebocoran data masih terjadi sedangkan separuh daripada pekerja di Facebook dilatih untuk mengamalkan tahap keselamatan yang tinggi.
“Kepelbagaian kandungan yang terdapat di Facebook membuatkan pekerja yang dilatih tidak mampu memantau keseluruhan kandungan ini,” kata Zuckerberg.

Namun Zuckerberg terus menekankan bahawa syarikatnya itu akan membina dan bergantung kepada teknologi Artificial Intelligence (AI) bagi memantau kandungan yang terdapat di laman media sosial tersebut.

Tambahnya dengan adanya AI, ia akan membantu kandungan-kandungan yang disebarkan oleh kumpulan pengganas seperti Daish diturunkan serta merta.

Sesi soal jawab terus berlangsung apabila seorang lagi wakil kongres David McKinley bertanya mengenai aktiviti penjualan dan pengedaran dadah yang menggunakan platform berkenaan secara aktif.

Menurut Zuckerberg, aktiviti berkenaan adalah bertentangan dengan terma dan syarat laman berkenaan namun McKinley terus menghangatkan keadaan dengan menunjukkan beberapa keping gambar aktiviti tersebut yang berleluasa di Facebook.

Menjawab persoalan tersebut, Zuckerberg sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa AI akan mampu membantu menyelesaikan segala masalah tersebut.