Lebih 150 penumpang syarikat penerbangan Japan Airlines (JAL) cemas seketika apabila terpaksa menggunakan gelongsor kecemasan untuk menyelamatkan diri selepas kepulan asap dikesan di bahagian kabin pesawat ketika ribut salji.

Dalam kejadian pukul 3 petang waktu tempatan itu, pesawat jenis Boeing 737 sedang bersedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang New Chitose yang menghubungkan Sapporo di utara Hokaido ke Fukuoka.

Menurut jurukap JAL, pesawat itu sedang bergerak ke landasan untuk berlepas namun diarahkan untuk berpatah balik berikutan salji tebal.

Ketika itu juga juruterbang melaporkan kerosakan enjin dan asap dikesan di bahagian kabin.

Ia memaksa pemindahan segera penumpang, walaupun tidak diketahui sama ada kedua-duanya mempunyai kaitan.

“Bau aneh dihidu di bahagian dalam kabin pesawat,” jurucakap penerbangan itu memaklumkan.

Akhbar Asahi Shimbun melaporkan enjin sebelah kanan pesawat terbakar, namun ia tidak disahkan pihak JAL.

Seramai 159 penumpang dan anak kapal berjaya dipindahkan dalam kejadian itu, kata jurucakap penerbangan itu.

Laporan media tempatan berkata tiga penumpang mengalami cedera ringan, meskipun laporan tidak dapat disahkan.