SYARIKAT pengeluar barangan sukan jenama Asics memohon maaf selepas skrin di luar butiknya di Auckland, New Zealand menayangkan filem porno selama beberapa jam.

Filem lucah berkenaan ditayangkan di skrin yang terletak di atas pintu masuk butik berkenaan sehinggalah ketibaan kakitangan untuk memulakan perniagaan pada pukul 10 pagi Ahad.

Syarikat yang berasal dari Jepun itu dalam reaksinya menjelaskan, berdasarkan siasatan yang dibuat, tayangan filem tidak bermoral itu dilakukan penggodam yang menceroboh sistem perkhidmatannya.

"Kami ingin memohon maaf kepada semua yang telah menontonnya (filem lucah)," kata syarikat itu.

Menurut laporan portal berita BBC, pengurusan Asics sedang bekerjasama dengan pembekal perisian dan keselamatan digital untuk memastikan masalah berkenaan tidak berulang pada masa depan.

Laporan media tempatan pula menyebut, filem lucah itu ditayangkan hampir sembilan jam sebelum dihentikan oleh kakitangan butik berkenaan.