Dua Korea, bersetuju menubuhkan pasukan Olimpik bersama, yang bakal menyaksikan atlet-atlet negara itu berarak menggunakan satu bendera buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun untuk acara pembukaan di temasya Olimpik musim sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan.

Rundingan peringkat tertinggi yang berlangsung di Panmunjom ini juga menyaksikan Seoul dan Pyongyang bersetuju menubuhkan satu pasukan hoki ais bersama.

Persetujuan ini bagaimanapun masih memerlukan kelulusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Lausanne, Switzerland.

Perkembangan ini menggambarkan hubungan kedua-dua negara berjiran tetapi berseteru ini memasuki fasa baru apabila Korea Utara menawarkan untuk menghantar delegasi ke temasya berkenaan.

Sekiranya cadangan ini berjaya direalisasikan, ratusan anggota delegasi Pyongyang, termasuk 230 anggota sorak, 140 pemuzik orkestra, dan 30 atlet taekwondo bakal menyeberang ke Korea Selatan, menerusi jalan darat untuk menghadiri temasya tersebut.

Korea Selatan juga perlu mencari mekanisme sesuai untuk menguruskan delegasi Korea Utara, tanpa mencabuli sekatan dikenakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB melibatkan pemindahan tunai dan sekatan ke atas beberapa pegawai kanan Pyongyang.