Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) tidak bersetuju dengan kesimpulan yang dibuat dalam laporan terbaharu misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Pengarah misi pencarian, Peter Foley berkata beliau menolak kesimpulan yang dibuat di dalam laporan terbaharu itu yang mendakwa juruterbang pesawat malang tersebut mungkin terbang di luar kawasan pencarian untuk mendarat sebelum tenggelam di Lautan Hindi yang belum diterokai.

Foley, yang menyelaras pencarian itu bagi pihak Kerajaan Malaysia, pada Selasa menimbulkan persoalan tersebut kepada jawatankuasa senat Australia berdasarkan teori-teori yang dibuat bekas penyiasat nahas udara Kanada, Larry Vance, melalui buku terbaharunya MH370: Mystery Solved.

Buku tulisan Vance itu menyimpulkan bahawa dua sayap yang terdapat di pulau-pulau di luar Afrika, menunjukkan juruterbang telah melakukan penolakan terkawal di luar kawasan yang dikesan oleh sonar.

"ATSB mempunyai data untuk memberitahu bahawa juruterbang itu tidak berjaya mengawal sepenuhnya penolakan kerana flap tersebut tidak digunakan.

"Pesawat itu, jika dilihat pada masa kejadian menerusi log masuk pertama, ia (pesawat) telah kehabisan minyak.

"Oleh itu, kami mempunyai banyak bukti untuk menyokong bahawa tiada kawalan penuh pada saat akhir nahas tersebut," jelasnya.

Manakala ATSB melalui hasil laporan pencarian percaya MH370 kehabisan bahan api dan terhempas selepas terbang dari Malaysia ke Beijing pada tahun 2014.

Laporan ATSB turut percaya kesemua 239 penumpang dan anak kapal berkemungkinan sudah lama mati di dalam kabin dan kokpit yang mempunyai tekanan rendah.

Foley turut menegaskan bahawa pesawat malang itu tidak berada di bawah kawalan sesiapa apabila ia jatuh di permukaan air.