SIAPA tidak kenal Nick Kyrgios yang sering dilanda kontroversi berkelakuan luar dugaan, hilang kawalan dan panas baran beraksi di gelanggang?

Siapa sangka, api membara dan bahang kepanasan mampu menyiram kelembutan hingga pemain tenis Australia (ibunya Norlaila berasal usul dari Malaysia) ini menitiskan air mata ketika menghulur bantuan mangsa malapetaka kebakaran?

Sejurus selepas menang perlawanan ATP Cup di Brisbane dengan berdepan pemain Jerman Jan-Lennard Struff, pemain ke-30 dunia Kyrgios mengumumkan untuk menderma AUS$200 (RM570) bagi setiap rejaman ace yang dilakukanya sepanjang Januari.

Pertandingan ATP Cup ini antara pelbagai pertandingan awal bagi pemain beraksi 'pemanas badan' sebelum bermulanya kejohanan Grand Slam tenis pertama musim baharu Terbuka Australia di Melbourne bermula pada 20 Januari.

Dalam perlawanan menentang Struff, Kyrgios mencatat 20 rejaman ace, menjadikan jumlah derma pada perlawanannya yang pertama itu sebanyak AUS$4,000 (RM11,400).

Pertubuhan induk sukan tenis Australia – Tennis Australia; memberi komitmen AUS$1 juta bagi membaik pulih kemudahan tenis yang rosak akibat kebakaran. Pertubuhan itu akan turut menderma AUS$100 (RM285) bagi setiap rejaman ace yang dilakukan pada kejuaraan ATP Cup sepanjang Januari.

Gerakan mengumpul dana juga melibatkan pemain kriket Australia. Glenn Maxwell, Chris Lynn dan D’Arcy Short yang bakal menderma AUS$250 (RM713) bagi setiap pukulan 6-larian (sixer) dalam kejuaraan Big Bash League yang sedang berjalan.

Sementara itu, malapetaka kebakaran Australia turut menarik perhatian bintang muzik dan barisan pelakon yang turut bermurah hati berderma.

Penyanyi popular dari Pennsylvania, Amerika Syarikat, Pink dan pelakon Australia Nicole Kidman masing masing menjanjikan derma sebanyak AS$500,000 (RM2.05 juta) guna membantu anggota dan usaha pasukan bomba yang gigih memadam kebakaran.

Kebakaran hutan Australia yang bermula sejak September sudah membinasakan hampir 6 juta hektar kawasan, mengorbankan 25 nyawa dan memusnahkan beriburibu rumah dan bangunan. Walaupun satu benua Australia sedang dilanda malapetaka kebakaran, negeri negeri New South Wales dan Victoria paling teruk menghadapi bencana.

Australia... Satu benua terbakar

Kebakaran di hutan Amazon pada 2019 melibatkan 900,000 hektar sementara kebakaran di California pada 2018 melibatkan keluasan 800,000 hektar.

Kebakaran hutan adalah fenomena alam biasa di Australia dan setiap musim panas disifatkan sebagai musim kebakaran.

Pada Sabtu 4 Januari, Penrith di barat Sydney mencatatkan sejarah apabila suhu mencecah 48.9 darjah Celsius – menjadikannya tempat paling panas di dunia.

Musim kebakaran kali ini begitu luar biasa kerana berlaku pada waktu berlaku fenomena cuaca 'Indian Ocean Dipole' yang membawa keadaan panas dan kering yang melampau. Keadaan bertambah buruk ekoran kemarau yang berpanjangan.

Australia mengalami purata suhu hingga 40.9 darjah Celsius dan mencecah rekod setinggi 41.9 darjah Celsius pada 17 Disember.

Elemen jenayah juga menjadi perhatian kerana ada kemungkinan kebakaran turut dimulakan akibat perbuatan khianat manusia.