Polis Australia mencatatkan rekod pembanterasan dadah terbesar di negara itu apabila berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan metamfetamin yang mencecah nilai AS$712 juta (RM2.9 bilion).

Empat orang yang terdiri daripada tiga warga Hong Kong dan seorang dari China, telah ditahan dan didakwa atas kesalahan membawa masuk dan menghasilkan 720 liter metamfetamin.

Pihak berkuasa mengesan dadah berkenaan dibawa masuk menggunakan kapal ke Australia seterusnya menjejak lokasi simpanan di Sydney.

Sebagai muslihat penyamaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sindiket tersebut menyembunyikan dadah berkenaan dalam beberapa produk seperti komponen coli, gam kraf dan set peralatan melukis.

Menteri Keadilan Persekutuan Michael Keenan berkata, ia adalah rampasan terbesar metamfetamin cecair dalam sejarah Australia.

“Ini sekali gus merupakan rampasan dadah terbesar di negara ini.

"Sindiket ini telah mengakibatkan seramai 3.6 juta orang dalam rangkaian kebergantungan metamfetamin ini dapat dibanteras daripada jalanan kita. Semua itu mencecah nilai harga jualan di jalanan sebanyak A$1.26 bilion,” ujarnya.

Ketua Polis New South Wales Komander Chris Sheehan berkata, operasi pengintipan yang bermula sejak Disember lalu dengan kerjasama pihak berkuasa China itu akhirnya mendatangkan hasil dengan tertangkapnya dalang di sebalik urus niaga haram besar-besaran tersebut.

Menurutnya, pasukan pemantau telah mengenal pasti kapal yang membawa pelbagai barangan mencurigakan dari Hong Kong.

“Kontena kapal itu antara lain memuatkan produk coli dengan isian gel khas, iaitu metamfetamin cecair yang keseluruhannya sebanyak 190 liter,” jelasnya.