Australia sedia menimbang cadangan memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitumaqdis, perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Scott Morrison hari ini.

Morrison berkata dalam satu sidang media, bahawa beliau bersikap terbuka dalam menimbangkan cadangan mengiktiraf secara rasmi Baitumaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan negaranya ke Baitumaqdis yang sejak sekian lama menjadi perebutan antara Palestin dan rejim Israel.

Pengumuman mengejutkan tersebut dibuat beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihan raya kecil parlimen di Wentworth, Sydney yang majoriti penduduknya adalah Yahudi, dan di mana calon Parti Liberal pimpinan Morrison yang juga bekas duta ke Israel, bakal bertanding.

BACA: Australia may sour ties with ASEAN if embassy moves to Jerusalem - Anwar

Kekalahan dalam pilihan raya berkenaan bererti Morrison bakal kehilangan satu kerusi majoriti di Parlimen.

"Scott Morrison amat terdesak untuk menyelamatkan kerjayanya, beliau sanggup berkata apa sahaja demi memenangi undi walaupun ia bermakna mengorbankan kepentingan Australia," kata jurucakap dasar asing Parti Buruh, Penny Wong.

Morrison mengambil alih kuasa bulan lalu selepas penyingkiran perdana menteri terdahulu, Malcolm Turnbull yang menganggap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memindahkan kedutaan negaranya dari Tel Aviv ke Baitumaqdis sebagai tidak membantu ke arah proses pendamaian.

Sementara itu, Morrison menyangkal dakwaan bahawa keputusannya untuk menimbangkan cadangan mengikut jejak langkah Trump adalah kerana menerima tekanan pihak AS.

"Saya membuat keputusan ini tanpa ada kaitan dengan AS, perbincangan dengan pegawai lain juga tidak menyebut tentang AS," katanya.

Terdahulu, tindakan Trump memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada 14 Mei lalu turut diikuti oleh Guatemala dan Paraguay. - Agensi