Berpuluh-puluh unit pembesar suara kini dipasang di seluruh bandaraya Melbourne, Australia pada Isnin sebagai sebahagian daripada penambahbaikan keselamatan utama untuk memberi amaran kepada orang ramai berkaitan serangan pengganas, lapor agensi berita China Xinhua.

Langkah itu merupakan syor satu kajian antikeganasan susulan beberapa insiden yang berlaku pada 2017.

Pada Januari, satu serangan menggunakan kenderaan di Melbourne telah meragut enam nyawa manakala dalam bulan Julai, insiden keganasan yang berlaku menyaksikan dua orang maut termasuk seorang lelaki bersenjata, di pinggir bandar tersebut.

Bulan lepas, satu plot untuk membunuh orang awam yang tidak bersalah ketika sambutan Malam Tahun Baharu di lokasi pelancongan popular Melbourne, iaitu Dataran Persekutuan, telah digagalkan oleh pihak berkuasa.

Inisiatif itu, yang menelan kos US$7.5 juta, bakal membabitkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) tambahan di Daerah Pusat Perniagaan dan pembinaan lebih banyak penghalang bagi mengelak kereta memasuki laluan pejalan kaki yang sibuk.

"Pembesar suara terbabit akan membolehkan kita mengeluarkan mesej amaran jika berlaku sesuatu insiden sama ada dalam bentuk keganasan atau yang mengorbankan nyawa secara besar-besaran, atau yang berisiko tinggi," kata pemangku Ketua Pesuruhjaya Polis Victoria, Shane Patton, kepada media tempatan.

"Ia akan membolehkan kami memaklumkan orang awam di bandar raya ini ke mana mereka harus pergi, apa yang mereka harus lakukan selain memastikan mereka selamat dan memahami apa yang sedang berlaku."

Secara kebetulan, sebuah forum tiga hari berkaitan pencegahan keganasan global bermula di Melbourne pada Isnin, yang membabitkan penceramah dari seluruh dunia termasuk Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, New Zealand, Singapura dan Belgium.

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Polis Victoria, Ross Guenther, dalam satu kenyataan menyebut persidangan tersebut merupakan satu peluang hebat untuk semua pihak yang berkepentingan dari seluruh dunia berkumpul dan berkongsi ilmu serta amalan terbaik bagi memerangi keganasan.

"Kami juga menyedari bahawa ini adalah sesuatu yang tiada satupun pertubuhan boleh perangi secara bersendirian, dan keupayaan untuk bertemu serta membincangkan pengalaman dalam lanskap antikeganasan yang sentiasa berevolusi adalah satu perkara yang begitu bermanfaat," katanya.

"Kami menjangka mendapat banyak manfaat daripada forum ini yang membolehkan kami melakukan yang terbaik bagi melindungi komuniti di Victoria."

Polis berkata ujian pertama sistem amaran itu akan berlangsung pada 28 Dis sebagai persediaan bagi sambutan Malam Tahun Baharu.

-- BERNAMA