RAKYAT Australia mungkin dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke New Zealand berbanding daerah lain dalam Australia.

Ini susulan beberapa pemimpin daerah enggan membuka semula sempadan akibat wabak COVID-19.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison menjelaskan, beliau telah berbincang dan mendapat persetujuan bersama Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dalam meneruskan perjalanan ke negara-negara jiran.

"Ada kemungkinan penduduk Sydney boleh terbang ke Auckland sebelum mereka boleh terbang ke Perth, atau Gold Coast sekali pun," katanya pada Selasa.

Setiap daerah di Australia, kecuali New South Wales dan Victoria, yang paling teruk terjejas dan mempunyai populasi penduduk yang ramai, telah menutup sempadan bagi mengekang penularan COVID-19.

Tambah Morrison, sempadan antarabangsa Australia tetap tidak dibuka dalam masa terdekat.

Setakat ini, Australia dan New Zealand telah merekodkan kejayaan yang sama dalam memperlahankan penularan wabak tersebut.