Perdana Menteri Australia Scott Morrison meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Beirut susulan letupan dahsyat pada 4 Ogos lalu.

Morrison, yang mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa berkaitan Lubnan pada Ahad, berkata bantuan yang disalurkan oleh Australia kepada negara itu ialah RM15.02 juta (US$3.58 juta) yang akan disalurkan menerusi Program Makanan Sedunia dan Persatuan Palang Merah Antarabangsa.

Para pemimpin dunia dan organisasi antarabangsa menjanjikan sebanyak RM1.258 bilion (US$300 juta) bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Beirut.

Bagaimanapun, mereka memberi amaran bahawa wang untuk membina semula kota tersebut tidak akan disediakan sehingga pihak berkuasa Lubnan memberikan komitmen kepada reformasi politik dan ekonomi yang dituntut rakyatnya.

BACA: Darurat dua minggu diisytihar di Beirut susulan letupan




Morrison juga menegaskan pentingnya penyiasatan yang dipercayai dan bebas berhubung letupan yang membunuh 160 orang dan mencederakan 6,000 orang serta telah meningkatkan kemarahan orang ramai.

Perdana Menteri Lubnan Hassan Diab dilaporkan sebagai berkata, ammonium nitrat yang meletup itu dianggarkan seberat 2,750 tan dan disimpan di sebuah depoh tanpa pengawasan rapi selama lebih enam tahun.