Berita  | Dunia

Auta atau fakta di bumi Syria: Apa perlu takut dengan White Helmets?

Auta atau fakta di bumi Syria: Apa perlu takut dengan White Helmets?
Pengiktirafan masyarakat dunia terhadap peranan White Helmets seperti pendedahan siri serangan senjata kimia ke atas orang awam di Syria telah menarik perhatian antarabangsa. - Foto Syria Care
WHITE HELMETS menjadi mangsa propaganda Rusia kerana fungsinya menyelamat mangsa yang cedera dan terperangkap di kawasan yang dikuasai kumpulan anti rejim Bashar al Assad.

Pendedahan demi pendedahan bersama gambar dan visual terhadap kezaliman ke atas orang awam telah menjadikan kumpulan penyelamat ini sebagai sasaran.

Bukan setakat serangan bom, tembakan dan penculikan, bahkan kewibawaan tugas dan tanggungjawab yang dipikulnya, cuba dialih dengan melabelnya sebagai sebuah organisasi “pengganas” dan diberi imej sebagai tali barut Barat.

Pengiktirafan masyarakat dunia terhadap peranannya seperti pendedahan siri serangan senjata kimia ke atas orang awam di Syria telah menarik perhatian antarabangsa sehingga dicalonkan dua hadiah Keamanan Nobel.

Manakala dokumentari mengenai White Helmets juga memenangi anugerah Oscar.

Berdasarkan impak itu, ia dilihat sebagai ancaman dan cuba dimanupilasi pihak yang tidak senang dengan pendedahan terhadap situasi sebenar yang berlaku.

Pendedahan demi pendedahan bersama gambar dan visual terhadap kezaliman ke atas orang awam telah menjadikan kumpulan penyelamat ini sebagai sasaran. - Gambar fail
Menurut laporan The Guardian, Moscow menggunakan media atas talian dan sosial untuk menafikan usaha murni lebih tiga ribu sukarelawan organisasi itu menyelamat nyawa rakyat Syria.

The Guardian telah menemui bagaimana maklumat itu disebarkan oleh rangkaian aktivis anti imperialis, pembuat teori konspirasi dan maklumat palsu dengan sokongan kerajaan Rusia (yang menyediakan bantuan tentera kepada regim Syria).
“White Helmets yang secara rasmi juga dikenali sebagai Syria Civil Defence, adalah sebuah pertubuhan kemanusiaan yang mempunyai sukarelawan sehingga 3,400 ahli-terdiri dari guru, jurutera, tukang jahit dan ahli bomba –yang bergegas untuk mengeluarkan mangsa dari runtuhan bila rakyat Syria dihujani bom.

Mereka dipuji kerana menyelamat ribuan nyawa orang awam ketika konflik perang saudara berterusan,” tulis Olivia Solon dalam artikelnya “How Syria's White Helmets became victims of an online propaganda machine”.
White Helmets dilihat sebagai ancaman dan cuba dimanupilasi pihak yang tidak senang dengan pendedahan terhadap situasi sebenar yang berlaku. - Foto Syria Care
Tulisnya lagi, Rusia menggunakan media alternatif dengan rangkaian individu yang lantang bersuara untuk menyangkal laporan media arus perdana. Antara mereka Vanessa Beeley, anak bekas diplomat Britain yang taksub dengan Bashar dan diiktiraf saluran RT (milik Rusia) sebagai wartawan siasatan bebas.

“Cara Rusia menggunakan mesin propaganda dengan menjadikan White Helmets sebagai sasaran adalah kajian secara halus untuk mengawal maklumat perang.

Ia mendedahkan bagaimana khabar angin, konspirasi dan berita separuh benar menjadi paparan teratas YouTube, algorithm, carian Google dan Twitter,” dedah The Guardian.

Pendekatan yang sama digunakan oleh para penyokong Bashar di serata dunia termasuk di negara ini. Bersama ini disertakan status yang dimuat naik salah seorang penyokongnya di laman Facebook.

“Beberapa hari yang lalu, berlaku serangan di Muhardah, Syria, bandar yang mempunyai majoriti penduduk yang beragama Kristian. Serangan oleh Al Nusra front (ANF) yang menggunakan roket cluster bomb telah menyebabkan 10 kematian termasuk 3 orang kanak-kanak dan beberapa orang cedera (roket dijatuhkan di kawasan awam berdekatan dengan sekolah).

Ibrahim (gambar di bawah) salah seorang mangsa yang sedang dirawat (dengan bantuan mesin life support) di hospital Hayat Jadid dan doktor tidak dapat mengesahkan jika dia dapat survive atau tidak.

Bandar Muhardah dan Al Skalbiyye adalah kawasan yang bersempadan dengan Idlib dan berdekatan 4KM dari salah satu markas ANF.

PERSOALANNYA, di mana White Helmets dan NGO pengutip derma (saya tidak mahu sebut, anda tahu siapa anda) sewaktu serangan ini terjadi?” tulisnya.

Bagi menjawab tulisannya, berikut fakta yang perlu difahami mengenai situasi di Muhardah atau Mahardah.

Menurut laporan Press TV yang pro Iran pada 8 September 2018, bandar berkenaan berada di bawah kawalan tentera rejim Bashar, bukannya di kawasan yang dikuasai penentang.

Oleh itu adalah mustahil untuk White Helmets beroperasi di kawasan yang mereka dianggap musuh kerana sudah pasti akan menjadi sasaran bunuh.

Selain itu, mereka  juga mengelak untuk berada di kawasan Al Nusra Front (ANF) kerana faktor yang sama.

Dalam tulisannya, si polan juga perlu memahami fikrah atau idealogi kumpulan anti kerajaan yang ada di dalam Syria, sebelum membuat sebarang kenyataan.

Bagi makluman, ANF atau dikenali juga Jabhat an Nusra adalah rangkaian kumpulan Al Qaeda yang menjadikan White Helmets sebagai sasaran. Bahkan dalam insiden pembunuhan tujuh sukarelewannya di Sarmin pada Ogos 2017, ia dikatakan didalangi kumpulan itu.

Begitu juga gambar yang dikongsi, Vanessa Beeley, ia menunjukkan mangsa berada di Hospital Hayat Jadid, di kawasan yang berada di bawah kerajaan Bashar.

Apa yang dikongsi penulis berkenaan adalah antara contoh yang digunakan untuk memanipulasi dan mensensasi situasi sebenar yang berlaku di Syria dengan cuba mengalih fakta sebenar.

Bak ringkasan tulisan, Olivia Solon, White Helmets dibenci kerana dua peranan utamanya.

Pertama melakukan kerja-kerja menyelamat dengan menyediakan perkhidmatan ambulans, memadam kebakaran serta operasi mencari dan menyelamat.

Kedua mendokumentasi serangan ke atas orang awam, sesuatu yang digeruni Bashar dan sekutunya Rusia.

“Ia perkara yang menyakitkan hati bukan sahaja regim Assad dan pihak berkuasa Rusia tetapi pakar propaganda yang bekerja untuk mereka,” kata wakil Amnesty International, Kristyan Benedict.


* Penulis, Razali Awang adalah bekas wartawan perang dan bencana yang kini bertugas sebagai Perunding Media Syria Care.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.