Berita  | Dunia

#AWANITA: Pada usia 92 tahun, Ratu Elizabeth muat naik entri di Instagram buat pertama kali

#AWANITA: Pada usia 92 tahun, Ratu Elizabeth muat naik entri di Instagram buat  pertama kali
RATU Elizabeth menulis dan memuat naik sendiri foto di akaun Instagram milik keluarga diraja England, @theroyalfamily. - Gambar fail
PEMERINTAH Britain, Ratu Elizabeth membuktikan usia bukanlah penghalang untuk seorang wanita yang berusia 92 tahun seperti baginda mencuba perkara yang baharu terutamanya berkaitan teknologi maklumat.

Tanpa bantuan sesiapa, baginda sendiri menulis dan memuat naik foto di akaun Instagram milik keluarga diraja England, @theroyalfamily.

Itu merupakan entri pertama yang dimuat naik di Instagram oleh pemerintah yang paling lama menduduki takhta dalam sejarah diraja di dunia.

Selepas 24 jam memuat naik entri berkenaan di laman yang mempunyai 4.8 juta pengikut, foto tersebut menerima lebih 220,000 tanda like selain lebih 4,000 komen yang diturunkan.
Gambar foto berkenaan dirakamkan baginda ketika berangkat ke Muzium Sains Kensington, United Kingdom bagi melancarkan pameran Top Secret: From Ciphers to Cyber Security pada Khamis.

Di laman Instagram rasmi keluara diraja itu, baginda mencatatkan rasa bangga serta terharu kerana diberi mengadakan lawatan dan mencuba perkara baharu di muzium berkenaan.

“Hari ini saya sangat terharu apabila berpeluang mempelajari satu kod komputer program khas untuk kanak-kanak yang bersesuaian dengan diri saya dan kenyataan ini dibuat ketika saya berada di Muzium Sains yang terkenal dengan teknologi dan inovasi.

“Saya juga berminat dengan satu surat yang diberikan kepada moyang saya, Raja Albert berkaitan dengan pengaturcaraan komputer pertama yang dicipta oleh wanita,” jelas baginda dalam catatan di Instagram.

Gambar tersebut merujuk kepada visual surat jemputan yang diberikan oleh Charles Babbage kepada moyang beliau, Raja Albert.

“Surat tersebut menyatakan Babbage menjemput Ratu Victoria dan Raja Albert untuk melihat program komputer pertama Analytical Engine yang dicipta oleh Ada Lovelace,” tulis Ratu Elizabeth lagi.

Lovelace yang juga anak kepada penyajak tersohor British, Lord Byron merupakan wanita pertama yang mencipta kod memprogram komputer sementara Babbage merupakan mentor kepada beliau.

Ini kerana ketika itu, tiada seorang pun wanita yang mahir menguasai ilmu Sains dan Matematik.