Berita  | Dunia

Awas BTS, pesaing anda sudah sedia takluk dunia!

Awas BTS, pesaing anda sudah sedia takluk dunia!
INILAH wajah Yeonjun iaitu anggota TXT iaitu band K-Pop terbaharu yang dirujuk sebagai 'adik bongsu BTS'. - Gambar Instagram bighit_ent
SEJAK beberapa hari lalu, peminat-peminat kumpulan K-Pop ternama dunia, BTS sudah tidak senang duduk apabila syarikat produksi Big Hit Entertainment mengumumkan 'kelahiran' sebuah lagi band baharu, TXT.

TXT atau singkatan bagi 'Tomorrow By Together' juga bakal dirujuk sebagai 'adik bongsu BTS'.

Big Hit yang juga label dinaungi BTS turut berkongsi tiga entri berkaitan dengan TXT menerusi akaun Twitter mereka termasuk memperkenalkan wajah Yeonjun iaitu anggota sulung dan satu-satunya (setakat ini) menjadi pertaruhan dalam TXT.

Syarikat berkenaan juga mempromosikan anak muda itu sebagai anggota yang mempunyai kemahiran menari luar biasa.

Serentak pengumuman itu, peminat-peminat K-Pop pantas menyenaraikan latar belakang jejaka yang dijangka menjadi kegilaan gadis.

Yeonjun atau nama sebenarnya Choi Yeon-jun yang berusia 19 tahun dipercayai akan menjadi ketua band TXT.
Berasal dari Bundang di wilayah Gyeonggi, Yeonjun dilaporkan pernah menjalani uji bakat di Cube Entertainment.

Peminat-peminat K-Pop juga mengenal pasti yang Yeonjun juga pernah sekali berkongsi pentas dengan BTS sebagai penari latar.

Pengumuman yang dibuat Big Hit telah melonjakkan populariti Yeonjun dalam sekelip mata sehinggakan namanya menjadi trending di seluruh dunia di laman Twitter dengan hastag #TOMORROW_X_TOGETHER.

Laman Twitter juga dibanjiri dengan pelbagai mesej yang didedikasikan buat TXT sehinggakan para peminat K-Pop mula berkongsi foto-foto dan video Yeonjun sedang menjalani latihan tarian dan vokal.

Sekalipun, kelahiran TXT dlihat sebagai 'pesaing' buat BTS, namun peminat-peminat tegar BTS yang dikenali sebagai ARMY bersikap terbuka dengan mengalu-alukan kehadiran band baharu itu

"Selamat datang ke keluarga BTS Yeonjun. Sudah tertulis kedua-duanya akan berganding bahu kerana Yeonjun sudahpun menjadi penari latar kepada BTS," kata peminat-peminat BTS.

Sebagai pengenalan atau mengalu-alu kehadiran Yeonjun ke dalam industri popular ini, sebuah klip videp berjudul What Do You Do yang menampilkan anak muda itu diterbitkan dan sudah ditayangkan.

Sejak dilancarkan pada 10 Januari lalu, video berkenaan sudah ditonton oleh 11 juta pelayar di saluran YouTube.



Big Hit menjangkakan TXT akan bersinar sebagai sebuah band remaja yang semua anggotanya itu kelak akan membina masa depan yang cemerlang.

TXT merupakan band kedua di bawah label Big Hit yang 'dilahirkan' selepas enam tahun karier BTS memulakan kerjaya mereka pada 2013.

Barangkali, terlalu awal untuk meramal masa depan TXT kerana keanggotaan band serta arah perjalanan muzik mereka juga masih belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun, suatu yang pasti BTS harus bersiap sedia menerima persaingan baharu!

Selamat datang TXT!