SEORANG wanita berusia 61 tahun keretanya terbabas ke jejantas selepas terkejut melihat seekor lipas di dalam keretanya di Jurong East Central, Singapura pada Jumaat lalu.

Dalam foto insiden yang dimuat naik dan tular di media sosial, kereta Mazda merah tersebut terbabas lalu merempuh di laluan pejalan kaki.

Bahagian depan kereta itu mengalami kerosakan teruk selepas berlanggar dengan pagar di tangga jejantas berkenaan.

Kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 7.30 petang.

Wanita tersebut dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Dalam laporan awal, wanita berkenaan dipercayai hilang kawalan pemanduan selepas terkejut melihat seekor lipas di dalam keretanya sebelum terbabas.

Walau bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut.