Tindakan Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) bagi membatalkan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqadis sebagai ibu negara Israel sememangnya dijangkakan sekaligus mencemar proses demokrasi dunia, kata pakar politik antarabangsa.

Mengecam tindakan tersebut, mereka berpendapat penggunaan kuasa veto itu jelas menafikan suara dan sokongan majoriti masyarakat antarabangsa termasuk 14 lagi Ahli Majlis Keselamatan yang langsung tidak menyokong tindakan Trump tersebut.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), ProfDatuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata Amerika sepatutnya tidak menggunakan kuasa itu sewenang-wenangnya dan hanya perlu digunakan dalam isu yang menganggu-gugat keselamatan dunia.

"Dalam hal ini, Amerika jelas telah salah guna kuasa vetonya untuk mendukung negara penyokong kuatnya, Israel dalam isu Baitulmaqadis ini termasuk penjajahan secara haram ke atas tanah-tanah di Gaza sekaligus bukti sokongan tidak berbelah-bahagi Amerika kepada rejim Zionis Yahudi," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Dilapor, Amerika menerusi dutanya ke PBB Nikki Haley telah menggunakan kuasa veto ke atas draf resolusi itu walaupun 14 lagi Ahli Majlis Keselamatan menyokong.

Draf yang disediakan Mesir mengulangi pendirian PBB sebelum ini mengenai Baitulmaqdis, yang mengesahkan bahawa apa-apa keputusan dan tindakan yang berupaya mengubah status atau komposisi demografi Baitulmaqadis tidak ada kesan undang-undang, adalah batal dan tidak sah dan mesti mematuhi resolusi Majlis Keselamatan.

Selain mengiktiraf Baitulmaqadis sebagai ibu negara Israel, rancangan Amerika menerusi Trump antara lain adalah memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqadis sekalipun tidak mendapat sokongan dunia.

Abdul Halim berkata, sudah sampai masanya PBB menyemak semula kuasa veto yang diberikan kepada negara-negara tertentu selepas tamat Perang Dunia Kedua itu termasuk sama ada memperluaskannya kepada negara lain termasuk dari Afrika dan ASEAN atau terus menghapuskannya.

"Ini baru adil. Setiap benua ada wakil dalam penggunaan kuasa termasuk benua Afrika dan ASEAN. Kenapa perlu hadkan kepada beberapa negara sahaja yang mempunyai keistimewaan?" katanya.

Selain Amerika, PBB memberikan kuasa veto kepada Britain, Perancis, Rusia dan China, yang mempunyai kuasa untuk menghalang sebarang resolusi daripada diluluskan.

Senada dengannya, pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zaid Ahmad menyifatkan tindakan itu akan memberikan kesan lebih buruk terhadap konflik Israel-Palestin.

"Tindakan veto unilateral Amerika ini umpama mencurah garam di luka yang dalam. Kita tidak nampak tindakan itu akan mewujudkan keamanan di rantau Palestin. Malah Amerika tahu tindakan ini akan mendapat kecaman umat Islam seluruh dunia dan negara-negara lain," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memanggil balik duta sebagai tanda bantahan dan mohon penjelasan lanjut selain tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika atau sekatan ekonomi diambil sebagai jalan terakhir.

Sementara itu seorang lagi pakar politik antarabangsa yang tidak mahu dikenali berkata status baharu Baitulmuqqadis itu telah meranapkan sekelumit harapan yang masih ada pada penduduk Palestin.

"Penyelesaian bagi pewujudan dua negara sepatutnya kekal sebagai penyelesaian terbaik tetapi ini hanya akan berjaya jika penduduk di kawasan yang diduduki secara haram bersedia untuk meninggalkan rumah mereka," katanya dan menurutnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Amerika menggunakan kuasa vetonya.

-- BERNAMA