Gara-gara bengang dengan insiden tulisan "Coolest Monkey in the Jungle’ yang tertera pada baju jenama H&M yang tular sebelum ini, sebuah butik jenama tersebut di pusat beli-belah Sandton City and Menlyn jadi mangsa.

Menerusi portal Sandton Chronicles, butik yang terletak di pusat beli belah di Sandton City, Johannesburg itu telah dirosakkan oleh kumpulan Economic Freedom Fighters (EFF) di sana.

Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu itu, hampir kesemua bahagian yang terdapat di dalam butik tersebut digeledah.

Pakaian disepahkan di atas lantai, patung peraga turut menjadi mangsa protes sehingga memaksa pekerja meninggalkan butik tersebut.

Namun tiada sebarang kerosakan dilakukan di luar butik tersebut.

Naib presiden EFF Floyd Shivambu menerusi tweet yang dimuat naiknya memuji perlakuan berkenaan dan menyifatkan pihak H&M tidak sewajarnya menerbitkan gambar iklan yang rasis.

Shivambu turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan kemusnahan yang dilakukan oleh pengikutnya.

Netizen seluruh dunia sebelum ini mengutuk tindakan H&M yang memaparkan imej seorang kanak-kanak lelaki berkulit hitam yang mengenakan baju hoodie dengan tulisan "Coolest Monkey in the Jungle".