Berita  | Dunia

Bakar wanita: Pengetua sekolah agama, 15 individu dihukum mati

Bakar wanita: Pengetua sekolah agama, 15 individu dihukum mati
Kematian Nusrat Jahan Rafi mendapat perhatian ramai terutama pertubuhan wanita dan hak asasi manusia.
DHAKA: Seorang pengetua sekolah agama dan 15 individu dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah menyebabkan seorang wanita berusia 18 tahun mati terbakar selepas enggan menggugurkan kes gangguan seksual terhadap lelaki itu.

Keputusan dibuat hakim selepas mendapati Siraj Ud Doula dan yang lain disabitkan kesalahan sama ada membunuh atau mengarahkan wanita itu dibunuh dalam kejadian di Dhaka, Bangladesh pada April lalu.

Pembunuhan itu turut mencetuskan protes di negara berkenaan. 

Majlis pengebumian mangsa, Nusrat Jahan Rafi dihadiri puluhan ribu orang.

Malah, Perdana Menteri, Sheikh Hasina turut berjanji kepada keluarganya bahawa mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.

Sebaik keputusan dibacakan Hakim Tribunal Pencegahan Penindasan Wanita dan Kanak-kanak, Mamunur Rashid, pengetua yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menangis.

Peguam pembelaan bagaimanapun menyatakan kesemua tertuduh akan membuat rayuan keputusan berkenaan.

Berdasarkan kes,pada 6 April lalu, mangsa dilaporkan telah dibawa ke kawasan bumbung sekolah dan tertuduh dikatakan mendesaknya untuk menarik balik laporan polis terhadap pengetua terlibat pada Mac.

Keengganan Nusrat berbuat demikian menyebabkan dia disiram minyak tanah sebelum dibakar.

Wanita itu melecur 80 peratus di badan dan disahkan meninggal dunia di Dhaka Medical College Hospital pada 10 April lalu.


Tag: Bangladesh, polis, meninggal dunia, wanita, mangsa, protes



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.