Mexico City diselaputi abu dan habuk tebal selepas gunung berapi Popocatepetl meletus selama sembilan jam.

Bagaimanapun, menurut Pusat Pencegahan Bencana Kebangsaan Mexico, keadaan di bandar itu kini beransur-ansur pulih selepas gunung berkenaan menghentikan hamburan abunya pada Isnin.

Pusat berkenaan melaporkan, abu dan habuk tebal menimpa lapan daerah di bahagian selatan bandar raya berkenaan serta enam kawasan di pinggir bandar.

Aktiviti gunung berkenaan yang terletak di wilayah Puebla bermula lewat Ahad sebelum ia kembali reda pada kira-kria 3.30 pagi Isnin, waktu tempatan.

Letupan turut mengakibatkan batuan kecil putih berterbangan sehingga satu kilometer di timur laut, selain melepaskan abu, air dan asap.

Kira-kira 25 juta penduduk tinggal dalam jarak lingkungan 100 kilometer sekeliling gunung berapi yang berketinggian 5,426 meter itu.