Dua bangkai kapal yang ditemui semasa operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di Lautan Hindi telah dikenal pasti.

Kedua-duanya adalah kapal dagang kurun ke-19 yang membawa muatan bahan bakar arang, dengan setiap satunya membawa 30 orang anak kapal, lapor AFP.

Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 orang, hilang pada Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tiada sebarang tanda bangkai pesawat ditemui dalam operasi pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan dunia itu, yang telah ditangguh sementara.

Begitupun operasi pencarian yang diketuai Australia itu menjumpai dua bangkai kapal pada kedalaman 3,900 meter.

Pihak Muzium Western Australia telah menganalisa data sonar dan video daripada misi pencarian pertama untuk mengenal pasti bangkai-bangkai kapal itu.

“Kedua-dua bangkai adalah kapal dagang dari kurun ke-19 – satu diperbuat dari kayu manakala satu lagi daripada besi. Kedua-duanya membawa arang,” ujar kurator arkeologi marin di muzium tersebut, Ross Anderson.

Kapal-kapal muatan pada era itu lazimnya membawa anak kapal antara 15 hingga 30 orang, walaupun adakalanya kapten kapal turut belayar bersama isteri dan anak-anak mereka.

Kedua-dua kapal juga mungkin membawa penumpang tambahan.

Agak sukar untuk memastikan secara khusus, namun kebarangkalian itu telah dikecilkan berdasarkan maklumat daripada sumber perkapalan British, kata Anderson.

Kapal kayu itu berkemungkinan bernama W Gordon yang pernah hilang ketika belayar dari Glasgow, Scotland ke Aelaide, Australia pada tahun 1876, atau kapal Magdala, yang belayar dari Penarth, Wales ke Ternate, Indonesia.

“Kapal besi itu pula adalah mirip kapal Kooringa (1894), Lake Ontario (1897) dan West Ridge (1883, namun kapal West Ridge paling tepat berdsasarkan bukti,” tambahnya.

Struktur badan kapal kayu itu sudah mereput teruk, dan yang tinggal hanyalaj kesan muatan arang dan objek keluli seperti kancing, sauh dan pelekap lain.

“Bukti itu menunjukkan bahawa kapal itu karam akibat insiden kemalangan seperti letupan, yang lazim terjadi sewaktu mengangkut bahan bakar arang,” jelas Anderson.

Salah satu penemuan menarik adalah sebuah bongkah keluli berbentuk empat segi, yang pada awalnya mencetus rasa teruja pasukan penyelidik kerana dipercayai peti khazanah, Namun, ia sbenarnya adalah tangki air kapal tersebut.