Pusat Dagangan Dunia New York terbaharu, 3 World Trade Centre (WTC) bakal beroperasi pada Isnin.

3 WTC mempunyai 80 tingkat dan merupakan bangunan pencakar langit ketiga yang siap dibina di tapak asal dua menara berkembar.

Bangunan pejabat yang sudah dibuka ialah 1 World Trade Centre, 4 World Trade Centre and 7 World Trade Centre.

Menurut Naib Presiden Silverstein Properties, Carlos Valverde, bangunan setinggi 1,079 kaki ataupun 328 meter itu merupakan bangunan kelima tertinggi di New York.



“Bangunan ini merupakan bangunan terbaharu yang akan dibuka di kampus World Trade Center, bukan yang terakhir. Kami percaya seluruh kawasan pusat bandar New York City ini sedang berubah.

“Ada beberapa perkara yang kami lihat. Kami menyaksikan kemasukan penduduk ke pusat bandar. Lebih 60,000 orang telah berpindah ke pusat bandar sejak 9/11. Kami juga mempunyai masyarakat yang besar, kreatif dan muda.

“Purata umur untuk pekerja GroupM, yang merupakan penyewa utama kami di sini, berusia 28 tahun. Jadi ia bukan seperti Wall Street zaman datuk anda. Ia adalah Wall Street yang baharu dan meriah,” kata Carlos.

Tambah beliau, 40 peratus daripada kira-kira 2.8 juta kaki persegi ruang pejabat bangunan tersebut telah disewa.

“Kumpulan pengiklanan GroupM telah menyewa 700,000 kaki persegi dan firma perunding pengurusan McKinsey & Co telah menyewa 185,000 kaki persegi.

“Pasaran saham baharu, IEX, pula menyewa kira-kira 45,000 kaki persegi dalam bangunan itu,” katanya.



Bangunan ini merupakan pencakar langit pertama di dunia yang mempunyai 10,000 panel kaca yang disejukkan dengan perlahan bagi mengurangkan tekanan dalaman.

Kaca itu tidak akan hancur walaupun bangunan tersebut diserang.

Dibina antara hab pengangkutan hasil rekaan Santiago Calatrava dan 4 World Trade Centre yang dibuka pada tahun 2013, bangunan terbaharu ini direka arkitek British, Richard Rogers.