Sekurang-kurangnya dua orang maut dan enam lagi cedera selepas sebuah bangunan lapan tingkat runtuh di Istanbul pada Rabu.

Beberapa orang lagi dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut, sementara kenderaan turut tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Punca kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang waktu tempatan itu, masih tidak diketahui.

Gabenor Istanbul Ali Yerlikaya berkata 43 orang berdaftar sebagai penghuni 14 apartmen di bangunan itu tetapi tiga tingkat teratas blok itu dipercayai dibina secara tidak sah.

Beliau turut berkata, sebuah bengkel tekstil yang dibuka di tingkat bawah bangunan itu juga beroperasi tanpa lesen.

Usaha mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan, menurut Pihak Berkuasa Bencana dan Kecemasan Turki.

Presiden Tayyip Erdogan dilaporkan telah menghantar menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal dalam negeri dan alam sekitar ke lokasi kejadian.