Sekumpulan 15 remaja perempuan berdepan detik cemas apabila bangunan yang menempatkan studio tarian mereka dijilat api di Edgewater, New Jersey, Amerika Syarikat pada Selasa.

Menerusi rakaman seorang saksi, kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat balkoni dan tingkap bangunan sebelum terjun pada ketinggian satu tingkat.

Orang ramai yang berada di kawasan sekitar juga bertungkus lumus memberi bantuan dengan menyediakan tangga dan memecahkan salah satu tingkap bangunan bagi memudahkan kesemua mereka turun.

Menurut Datuk Bandar Edgewater, Michel Joseph McPartland kesemua mangsa yang berjaya menyelamatkan diri mengalami cedera ringan dan sedang menerima rawatan.

Pemilik premis, Tony Nehmi dan seorang pegawai polis turut membantu menyelamatkan mangsa semasa api sedang marak.

Punca kebakaran di bangunan tersebut yang juga menempatkan sebuah bengkel kenderaan sedang disiasat oleh pihak berkuasa.