Lebih 100 terkorban manakala berpuluh-puluh lagi masih hilang dalam banjir besar dan tanah runtuh di barat Jepun.

Jumlah korban mencecah sekurang-kurangnya 109 selepas banjir memaksa berjuta penduduk meninggalkan rumah mereka, menurut laporan televisyen nasional NHK, angka tertinggi sejak 117 orang terbunuh dalam hujan lebat pada tahun 1983.

Seramai 79 lagi masih hilang, menurut laporan itu lagi.

Pasukan penyelamat menggali lumpur dan runtuhan pada Isnin dalam usaha mencari mangsa yang terselamat selepas hujan lebat mengakibatkan hampir 13,000 penduduk terputus bekalan elektrik, sementara ratusan ribu lagi terputus bekalan air.

Selepas hujan lebat minggu lalu, ramalan kaji cuaca mendedahkan suhu akan mencecah 30 darjah Celcius, yang menyebabkan kebimbangan strok haba di kawasan yang mengalami masalah kekurangan bekalan air.

"Kami tidak boleh mandi, tandas tidak berfungsi dan stok makanan semakin kurang," kata Yumeko Matsui, penduduk bandar Mihara yang terputus bekalan air sejak Sabtu.

Walaupun hujan lebat sudah berakhir, jabatan kaji cuaca memberi amaran tentang perubahan cuaca mendadak dan ribut petir, serta risiko tanah runtuh di pergunungan curam sepanjang hujung minggu ini.