Hujan yang semakin reda menyebabkan banjir di negeri Kerala, selatan India bertambah baik.

Susulan itu, lebih banyak bantuan digerakkan kepada ratusan ribu mangsa yang terjejas dan memerlukan.

Jabatan Meteorologi India juga menarik balik amaran tahap merah yang dikeluarkan sebelum ini di beberapa daerah di Kerala.

Namun, beberapa daerah lagi masih kekal diletakkan dalam bahaya kerana terus digenangi air.

Pasukan udara dan tentera India menggunakan helikopter untuk mengangkut mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah semasa menyelamatkan diri.

Mereka turut mengagihkan barangan makanan dan bekalan lain melalui udara di lokasi di mana mereka tidak boleh mendarat.

Lebih 350 orang maut susulan banjir buruk itu, bencana alam yang disifatkan paling buruk dalam sejarah Kerala.

BACA: Seramai 164 orang terbunuh akibat banjir, tanah runtuh di Kerala, India

Nasib beribu-ribu yang lain masih tidak dapat dipastikan.

Para pegawai kini menumpukan kepada kawasan tanah rendah di Chenannur, di mana sekurang-kurangnya 5,000 orang terkandas.

Musim monsun di India bermula Jun hingga September menyebabkan kerala dilanda banjir buruk dengan hujan lebat tanpa henti melanda negeri berkenaan selama dua minggu.