Sekurang-kurangnya lima terkorban susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di selatan Thailand pada Jumaat akibat hujan lebat yang berterusan.

Menurut pegawai pengurusan bencana negara itu, lebih 385,000 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, dua orang terkorban di wilayah Pattani, dua di wilayah Songkhla manakala seorang di Yala.

Lima wilayah lain turut dilanda banjir iaitu Phatthalung, Trang, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat dan Surat Thani akibat hujan lebat yang berterusan susulan musim tengkujuh.

Tambah kenyataan itu lebih daripada 2,500 kampung terjejas namun keadaan beransur pulih.