Bank New York Mellon dilaporkan telah membekukan aset berjumlah AS$22 bilion milik negara Kazakhstan.

Menurut laporan Reuters, keputusan itu dibuat berdasarkan satu saman yang difailkan seorang usahawan Moldova terhadap negara itu.

Memetik laporan portal RT, aset itu merupakan milik Dana Nasional Kazakhstan yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh hasil kekayaan minyak negara itu.

Usahawan warga Moldova itu, Anatolie Stati, terlibat dalam kes undang-undang terhadap Kazakhstan bertahun-tahun lamanya.

Stati mempunyai pelaburan dalam industri minyak dan gas Kazakhstan dan mendakwa kerajaan Kazakhstan telah memaksanya menjual asetnya di bawah harga pasaran. Kazakhstan bagaimanapun menafikan dakwaaan tersebut.

Oktober lalu, Kazakhstan memfailkan saman terhadap syarikat-syarikat milik Stati di mahkamah daerah Amerika Syarikat (AS) di Washington selepas syarikat milik Stati, Stati Partners diberikan ganjaran berjumpah 500 juta USD apabila memenangi kes di mahkamah timbang tara antarabangsa.

Bon dolar Kazakhstan merekodkan penurunan pada hari Khamis walaupun nilai mata wang negara itu menguat berbanding dolar AS.

Kazakhstan mempunyai ekonomi ke-55 terbesar di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah AS$137 bilion.