Rusia mendakwa Amerika Syarikat telah menghantar pelatih tenteranya ke Syria bagi melatih kumpulan militan menggunakan senjata kimia.

Ia dikatakan sebagai alasan untuk melancarkan serangan udara terhadap tentera dan infrastruktur pentadbiran Bashar Al Assad.

Ketua Staf Tentera Rusia, Jeneral Sergey Rudskoy berkata negara itu mempunyai bukti kukuh berhubung latihan ketenteraan yang dihulur Amerika Syarikat.

"Kami mempunyai maklumat yang boleh dipercayai bahawa pelatih dari Amerika Syarikat telah melatih beberapa kumpulan militan di sekitar bandar At-Tanf untuk menimbulkan provokasi yang melibatkan ejen perang kimia di selatan Syria.

"Dan kumpulan yang terlatih telah pun dikerah ke selatan Syria bagi bertempur dengan tentera Syria awal bulan ini," jelasnya.

Tambahnya AS sedang mempersiapkan bahan kimia untuk dijadikan bahan letupan.

Bahan letupan tersebut didakwa akan diguna bagi menyalahkan pentadbiran Bashar dalam isu penggunaan senjata terlarang.

Katanya komponen-komponen untuk menghasilkan senjata kimia terbabit telah diseludup ke zon selatan di bawah nama konvoi kemanusiaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).