'Jangan beli lagi daripada Kanada dan Amerika Syarikat kerana mereka terlalu banyak meletakkan syarat.'

Demikian ketegasan yang dibuat Presiden Filipina Rodrigo Duterte ketika mengulas mengenai pertimbangan semula perjanjian jual beli 16 helikopter dari sebuah syarikat milik Kanada pada Jumaat.

"Saya ingin jelaskan perkara ini kepada pasukan tentera Filipina iaitu batalkan sahaja perjanjian tersebut.

"Jangan lanjutkan sebarang perjanjian dan kita akan berunding dengan pengedar baharu," jelasnya.

Kenyataan Duterte terbabit merujuk kepada perjanjian jual beli 16 helikopter pelbagai guna Bell 412EPI yang dimeterai bersama pengeluar dari Kanada, Bell Helicopter.

Pada Khamis Ottawa mengeluarkan kenyataan berhubung penilaian semula perjnajian jual beli terbabit ekoran pelanggraan hak asasi manusia yang dilakukan Filipina.

Pentadbiran Perdana Menteri Justin Trudeau melakukan penilaian terbabit kerana isu kemanusiaan terbabit sedang dibincangkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa I(CC) terhadap dakwaan pembunuhan di luar undang-undang oleh Filipina terhadap pesalah dadah.

Mengulas lanjut, Duterte berkata beliau menghormati keputusan Trudeau terbabit namun ia tidak menyekat usaha berterusan Filipina menentang pengganas dan pemberontak di negara itu.

"Sebab utama saya ingin membeli helikopter terbabit adalah kerana mahu melaksanakan operasi menentang pengganas dan pemberontak di negara ini," jelasnya lagi.

Pada Khamis Menteri Luar Kanada Chrystia Freeland berkata hasil perbincangan bersama Trudeau telah cibuat bagi mengambil kira isu pelanggran hak asasi manusia oleh Filipina sebelum permit eksport helikopter dikeluarkan.

"Saya dan Perdana Menteri telah berbincang dan telah sepakat untuk mempertimbangkan semula isu terbabit sebelum kelulusan permit dibuat." jelasnya.

Tahun lalu Duterte dipertanggungjawab atas operasi membasmi dadah negara itu yan menyaksikan hampir 4,000 suspek dadah mati ditembak anggota polis.

Berhubung isu pelanggaran hak asasi manusia terbabit pentadbiran Duterte mendakwa ia sebagai tidak berasas dan polis bertindak sedemikian sebagai sebahagian cara untuk mempertahankan diri.