SEORANG bapa yang kecewa dengan tindakan anaknya bertunang tanpa kebenaran bertindak menembak kepalanya dengan pistol dan menyiarkannya secara langsung melalui penstriman Facebook.

Dalam video mengerikan yang disiarkan dua hari lalu itu, Ayhan Uzun, 54 tahun, dari Kayseri, Turki berkata dia sangat sedih dan kecewa apabila anak perempuannya bertunang tanpa meminta persetujuan daripadanya terlebih dahulu.

"Saya bersiaran langsung sekarang atas kerelaan sendiri, dan saya tidak mahu mereka yang yang menjadi punca saya mengambil tindakan ini untuk menghadiri upacara pengebumian saya.

"Saya dapat tahu dia sudah bertunang dan bakal berkahwin daripada isteri saya. Tiada siapa beritahu atau minta keizinan saya. Bapa mertua saya pula yang menggantikan tempat saya dengan memberi keizinan kepadanya untuk berkahwin," katanya yang ketika itu bersendirian di rumah.

Rakan-rakan dan keluarga yang menyaksikan video itu meninggalkan pesan di ruangan komen memujuk Uzun supaya membatalkan niatnya, namun tidak dihiraukan.

Video itu telah dipadamkan dari Facebook selepas ia mula tular.

Dalam satu kenyataan kepada portal New York Post, Facebook menyatakan rasa kesal dengan penyiaran video tersebut.

"Kami tidak pernah menyokong sebarang bentuk penganiayaan kepada diri sendiri atau orang lain, termasuklah bunuh diri.

"Kami sentiasa berusaha memperbaik kekurangan yang ada dan akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk membantu mereka yang mengalami masalah tekanan dan kemurungan," kenyataan itu menyebut.