Seorang budak lelaki baring bersebelahan mayat ibunya yang disangkakan sedang tidur selepas terjatuh dari mesin larian (treadmill).

Bapanya, Jamie Fietje berkata, sukar untuk memahami apa yang berlaku kepada isterinya selepas bercakap dengan anaknya, Astin yang berusia empat tahun.

Shari Fietje, 29, meninggal dunia pada 3 Disember lalu di kediaman mereka di New Zealand selepas terjatuh dari treadmill, mungkin disebabkan kesan pembedahan hidungnya dan juga hentakan di kepalanya.

"Shari kembali menjalani rutin harian selepas menjalani pembedahan hidungnya dan memutuskan untuk melakukan senaman (berlari) pada hari tersebut (Selasa) manakala Axel (seorang lagi anak lelaki mereka) sedang tidur.

"Dari apa yang saya faham Astin memberitahu ibunya berada di atas treadmill dan turun dan mematikannya. Kemudian dia jatuh dan kepalanya terhantuk dan tidur, jadi dia tidur dengannya. Sukar untuk mendengar ini daripada Astin," kata Fietje di laman sosial Facebooknya.

Fietje berkata, dia tidak pasti punca sebenar kematian isterinya dan masih menunggu laporan lengkap mengenainya. - Agensi