20 pekerja asing warga Myanmar maut dalam kebakaran sebuah bas di barat Thailand awal pagi Jumaat.
Ketika kejadian bas yang membawa 47 pekerja itu baru sahaja melepasi sempadan masuk ke Thailand.

Ketua balai polis Maetor, Kritkanok Dan-udom, mengesahkan tiga penumpang lagi cedera sementara baki penumpang berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

“Pemandu bas beritahu dia melihat api pada bahagian tengah bas dan ia merebak agak pantas,” jelas Kritkanok.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO dalam kajian terbaharunya meletakkan jalan raya di Thailand sebagai yang kedua paling bahaya di dunia selepas Libya.

Dianggarkan seramai lebih 3 juta pekerja asing berada di Thailand, kebanyakannya berasal dari Myanmar. Thailand memperketatkan peraturan bagi mendapatkan permit kerja tahun lalu.