27 penumpang maut sementara 18 yang lain cedera selepas bas yang membawa pelancong tempatan terbalik selepas terjunam di lereng bukit di wilayah Subang, Jawa Barat, Indonesia.

Kemalangan pada Sabtu itu berlaku pada jam 6:10 petang waktu tempatan.

Bas malang yang membawa 45 penumpang dalam perjalanan dari selatan Tangerang di wilayah Banten dan dalam perjalanan ke sebuah kolam air panas.

“Kesemua 27 mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti.

"Mangsa yang cedera mengalami patah tulang kaki, tangan, dan pinggul, serta luka parah di kepala,” kata jurucakap Rumah Sakit Umum Daerah Subang, Mamat Budirakhmat seperti yang dipetik Tribun Jabar.

Menurut Ketua Polis Trafik Budhy Hendratno, nahas berlaku apabila bas pelancong itu merempuh sebuah motosikal ketika menuruni bukit lalu hilang kawalan dan terbalik.

Polis masih menyiasat punca kemalangan namun dipercayai brek bas terbabit gagal berfungsi.