Sekurang-kurangnya 16 orang maut, manakala 16 lagi cedera apabila sebuah bas terjunam ke dalam sebuah gaung di Kashmir, bahagian jajahan India pada Jumaat.

Kemalangan tersebut berlaku apabila pemandu bas tersebut dipercayai hilang kawalan ketika membelok di selekoh yang tajam.

Menurut seorang pegawai polis, Rajinder Gupta, mereka yang cedera telah pun berjaya dikeluarkan daripada gaung sedalam 1,000 meter itu.

Katanya, sebelas mangsa yang cedera parah juga telah dibawa ke hospital melalui helikopter.

Jalan raya di India merupakan antara jalan yang paling banyak meragut nyawa, dengan 110,000 mangsa setiap tahun.

Selain keletihan dan kecuaian pemandu, kualiti jalan raya yang teruk turut menjadi penyumbang angka korban.